Kementerian Luar Negeri Malaysia mengeluarkan notis segera kepada rakyat Malaysia di United Kingdom untuk menjauhi protes anti-imigran yang sedang berlaku.
Protes ini dikatakan sebagai rusuhan terburuk di UK dalam tempoh 13 tahun.
Insiden bermula selepas kejadian tikaman di Southport pada 29 Julai, di mana 3 gadis meninggal dunia dan 10 orang cedera, termasuk 5 kanak-kanak dan 2 dewasa yang kritikal.
Serangan ini dilakukan oleh seorang suspek berusia 17 tahun. Rusuhan kemudian merebak ke seluruh negara, menyebabkan pertempuran antara polis dan perusuh.
Kementerian menyatakan mereka memantau rapat situasi ini melalui Suruhanjaya Tinggi Malaysia di London.
Wisma Putra menasihatkan rakyat Malaysia agar menjauhi kawasan protes, sentiasa berwaspada, dan mengikuti panduan pihak berkuasa tempatan.
Rakyat Malaysia juga digesa mendaftar dengan Suruhanjaya Tinggi Malaysia di London untuk memastikan mereka menerima maklumat dan bantuan tepat pada masanya.
Langkah berjaga-jaga penting untuk memastikan keselamatan diri sepanjang berada di UK. – JURNAL