Pembangunan semula Pasar Raja Bot atau lebih dikenali Pasar Chow Kit tidak pernah terbengkalai, malah Fasa 1 projek itu sudah disiapkan sepenuhnya pada 25 April 2016.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, kerajaan Persekutuan komited dalam meneruskan pembangunan semula projek pasar berkenaan.
Katanya, ia terbukti apabila Fasa 2 projek pembangunan semula pasar itu sudah dilaksanakan dengan kemajuan sehingga 90 peratus.
“Projek (Fasa 2) ini bermula pada 17 Oktober 2022 dan keseluruhan pembangunan semula terbabit dijangka siap 12 Oktober 2025.
“Perjalanan projek ini sekarang adalah pada peringkat perlaksanaan dan untuk makluman, pembangunannya sudah siap sebahagian,” katanya.
Azalina berkata demikian bagi menjawab soalan dikemukakan Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani pada pertanyaan lisan di Dewan Rakyat.
Dalam soalannya, Johari bertanya mengenai bilakah projek Pasar Raja Bot yang didakwa terbengkalai sejak 10 tahun lalu itu akan disiapkan, selain berapakah peruntukan sudah diluluskan kerajaan untuk menaik taraf pasar berkenaan.
Pada masa sama, Azalina berkata, kontraktor utama projek itu sebelum ini ditamatkan kontrak pada 18 Ogos 2021 akibat faktor prestasi.
Menurutnya, proses pelantikan bagi kontraktor penyiap selesai melalui tender terbuka.
Ahli Parlimen Pengerang itu berkata, kontraktor penyiap sudah dilantik pada 26 September 2022 dengan kos berjumlah RM125,800,000 untuk menyambung baki projek yang masih belum siap.
“Untuk makluman, kontraktor penyelamat baharu akan menyelesaikan baki kerja, iaitu baki 10 peratus Fasa 2 yang dijangka siap pada 19 Mei 2023; Fasa 3 (dijangka siap 6 Disember 2024) dan Fasa 4 (dijangka siap 12 Oktober 2025),” katanya.
Projek pembangunan Pasar Raja Bot yang terletak di tengah ibu negara dilaksanakan bagi memberi imej baharu terhadap kawasan itu dan persekitarannya.
Ia juga bagi membangunkan sebuah pasar yang bersih dan kemas, selain dilengkapi kemudahan sistematik, termasuk parkir bertingkat. – JURNAL
Sumber: Getaran