Pengerusi Muafakat Nasional (MN), Tan Sri Annuar Musa menegaskan tidak akan berlaku pertembungan antara dengan anaknya bagi merebut kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) bulan depan.
Malah, anaknya yang juga Ketua Pemuda UMNO Bahagian Ketereh, Afiq Amani, disifatkan sebagai penyokong kuatnya.
“Tak payah kalau-kalau (pertembungan merebut kerusi), itu tidak akan berlaku, percayalah. Anak saya adalah penyokong kuat saya.
“Kita lihat perkembangannya, tunggu dan lihat nanti,” katanya ketika ditemui selepas Ceramah Mega Pakat Pertahan pada malam Rabu.
Mengikut laporan, Afiq Amani adalah antara 155 nama yang dihantar Barisan Nasional (BN) Kelantan kepada pucuk pimpinan parti untuk dipertimbangkan sebagai calon pada PRN Kelantan, 12 Ogos ini.
Ketua Penerangan UMNO negeri, Datuk Zawawi Othman, mengesahkan nama Afiq Amani diangkat pimpinan UMNO Bahagian untuk disenarai sebagai calon di satu kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Parlimen Ketereh.
Sementara itu PAS memberi jaminan, Annuar tidak akan diletakkan di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk bertembung dengan anaknya jika dicalonkan mewakili parti itu.
Mursyidul Am PAS, Datuk Hashim Jasin, berkata parti itu akan memastikan tiada pertembungan antara bekas Ahli Parlimen Ketereh itu dengan anaknya.
Bagaimanapun, Hashim memaklumkan keputusan sama ada Annuar dibenarkan bertanding mewakili PAS dalam PRN pada 12 Ogos depan, hanya akan diputuskan oleh Majlis Syura Ulama PAS.
“Apa yang saya boleh sahkan hari ini adalah nama Annuar ada dalam senarai calon yang dikemukakan kepada Majlis Syura baru-baru ini.
“Namun sama ada beliau boleh bertanding di bawah tiket PAS bergantung kepada keputusan yang akan dibuat oleh Majlis Syura,” katanya. – JURNAL