Ketua Pemuda UMNO Bahagian Ketereh, Afiq Amani Annuar tidak pernah memikirkan untuk menjadi calon pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-15 Ogos ini.
Sebaliknya, anak kepada bekas Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa itu membuat persiapan untuk menghadapi sebarang kemungkinan sekiranya dipilih dan bertembung dengan bapanya yang kini menyertai Pas.
Bagaimanapun, katanya, beliau akan berbincang dengan keluarganya terlebih dahulu jika perkara itu menjadi kenyataan.
“Setakat ini tiada dalam fikiran saya untuk menjadi calon PRN, tetapi jika berlaku, keputusan yang diambil nanti akan dibincang dengan keluarga, bukan keputusan seorang diri.
“Selepas pegang jawatan Ketua Pemuda UMNO Bahagian ini, saya hanya mahu berkhidmat kepada parti, bukan mahu dipilih sebagai calon atau bertanding dalam pilihan raya,” katanya.
Mengakui pengalamannya masih terlalu sedikit dalam arena politik, Afiq Amani berkata, jika Barisan Nasional (BN) serius untuk menang, masih ramai lagi calon yang layak.
Namun, beliau menyerahkan kepada pucuk pimpinan untuk membuat keputusan bagi memastikan parti itu mendapat kemenangan dalam PRN nanti.
“Ambo (saya) ni pengalaman sangat kurang, baru beberapa bulan jadi Ketua Pemuda UMNO, banyak lagi kena belajar.
“Kalau serius nak menang, ramai lagi calon yang layak, terpulang kepada pucuk pimpinan, biar mereka putuskan apa yang terbaik untuk BN supaya boleh memenangi sebanyak mungkin kerusi dalam PRN,” katanya.
Ditanya mengenai hubungan dengan bapanya yang juga bekas Setiausaha Agung UMNO dan kini menjadi Pengerusi Muafakat Nasional (MN), Afiq Amani berkata, mereka berdua sangat profesional dan masing-masing tahu perjuangan dalam parti.
Beliau berkata, tiada berlaku sebarang perselisihan faham walau berbeza parti politik, sebaliknya mereka kerap bercakap mengenai persamaan berbanding melihat kepada perbezaan perjuangan parti politik masing-masing.
“Saya selaku orang dewasa, dia pun hormat keputusan saya, dia sangat matang. Saya tahu perjuangan dia, dia pun tahu perjuangan saya jadi tiada masalah.
Mungkin pergaduhan itu sebenarnya adalah berlaku di pihak atasan, namun saya tidak terlibat di pihak atasan tapi saya tahu kami berdua mahu yang terbaik untuk Kelantan, Islam dan bangsa Melayu, rakyat Malaysia secara am.
“Kita banyak bercakap mengenai persamaan berbanding tengok perbezaan, setakat ini alhamdulillah tiada masalah kerana dia pun tahu saya sebagai orang dewasa, mahu saya berfikir sendiri,” katanya. – JURNAL
Sumber: MALAYSIAGAZETTE