Pakatan Harapan (PH) berjaya mengekalkan penguasaan di Parlimen Pulai apabila calonnya, Suhaizan Kayat, disahkan menang di kerusi berkenaan dengan majoriti lebih 18,000.
Keputusan rasmi itu diumumkan Pengurus Suruhanjaya Pilihan Raya bagi PRK P161 Parlimen Pulai, Miswan Yunus.
Suhaizan yang juga bekas Speaker Dewan Undangan Negeri (Dun) Johor meraih 48,283 undi menewaskan Zulkifli Jaafar daripada Perikatan Nasional (PN) dengan 29,642 undi, manakala Samsudin Mohamad Fauzi yang bertanding sebagai calon Bebas pula meraih 528.
Suhaizan meraih kemenangan dengan majoriti 18,641. Peratus keluar mengundi pula berjumlah 47.37 peratus.
Bagaimanapun Suhaizan menang dengan majoriti lebih rendah berbanding majoriti besar 33,174 undi diraih Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub yang juga bekas Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) lalu.
Kemenangan Suhaizan yang juga Naib Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Johor itu mencatat sejarah peribadi kepadanya selepas tewas enam kali dalam pilihan raya yang pernah ditandinginya sebelum ini.
Cubaan kali ketujuh Suhaizan yang juga Ketua Amanah Bahagian Pulai itu akhirnya berjaya menghadiahkan kemenangan kepadanya.
Pada PRU-15 November lalu, Salahuddin menang kerusi Parlimen Pulai dengan 64,900 undi, menewaskan Datuk Nur Jazlan Mohamed daripada Barisan Nasional (BN) yang meraih 31,726 manakala Loh Kah Yong dari PN meraih 20,677.
Terdahulu, PH turut mengekalkan kerusi Dun Simpang Jeram apabila menewaskan PN, pada Pilihan Raya Kecil (PRK), hari ini, dengan majoriti 3,514 undi.
Bekas jurutera Nazri Abdul Rahman daripada PH meraih 13,844 undi menewaskan pakar bedah, Dr Mohd Mazri Yahya yang mendapat 10,330 undi manakala S Jegananthan mewakili Bebas hanya meraih 311 undi.
Keputusan rasmi berkenaan bagi Dun Simpang Jeram itu diumumkan Pegawai Pengurus PRK Dun Simpang Jeram Jamil Hasni Abdullah pada 9.10 malam di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, Muar.
Pada PRU-15, Allahyarham Salahuddin memperoleh sebanyak 8,749 undi dengan majoriti undi sebanyak 2,399 undi.
Ketika itu Salahuddin menewaskan Zaril Salleh daripada PN dengan 6,360 undi; Datuk Lokman Md Don daripada Barisan Nasional (BN) pula meraih 6,062 undi manakala Mahaizal Mahmor daripada Pejuang hanya mendapat 208 undi. – JURNAL
Sumber: HARIAN METRO