Bagi memudahkan perjalanan pengundi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (Dun) Mahkota yang bekerja atau tinggal di Singapura, semua kaunter di pintu masuk Tambak Johor dan Linkedua akan dibuka sepenuhnya pada Sabtu ini.
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, menegaskan bahawa kerajaan negeri komited untuk memastikan kelancaran urusan kepulangan pengundi melalui pintu masuk negara.
Beliau telah berhubung dengan Jabatan Imigresen Malaysia bagi memastikan Kompleks Kastam, Imigresen, dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) di Iskandar Puteri beroperasi pada tahap maksimum bermula Jumaat ini.
“Ia bertujuan mempercepatkan pergerakan pengundi pulang ke Mahkota untuk menjalankan tanggungjawab mereka. Saya merayu kepada ribuan pengundi yang bekerja di Singapura untuk pulang mengundi,” kata Onn Hafiz.
PRK Dun Mahkota menyaksikan pertandingan antara calon Barisan Nasional (BN), Syed Hussien Syed Abdullah, dan calon Perikatan Nasional (PN), Mohamad Haizan Jaafar.
Pilihan raya ini diadakan berikutan kematian penyandang kerusi, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, pada 2 Ogos lalu.
Sebanyak 66,318 pengundi berdaftar di Mahkota, dengan 20 pusat mengundi akan dibuka pada Sabtu ini. – JURNAL
Sumber: Harian Metro