Prestasi luar biasa beregu lelaki negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani, menjadikan mereka calon utama untuk membantu Malaysia meraih pingat emas pertama di Sukan Olimpik Los Angeles 2028.
Pasangan nombor dua dunia ini bakal diberikan tempat dalam program Road to Gold (RTG), dengan perincian sokongan sedang dibincangkan oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS).
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, berkata, “Prestasi mereka melonjak dengan sangat cepat. Mereka kini beregu nombor dua dunia, dan hasrat kita untuk memenangi pingat emas di Olimpik Los Angeles 2028 semakin hampir kalau mereka kekalkan pencapaian ini.”
Sze Fei-Izzuddin mencuri tumpuan selepas menjuarai empat kejohanan besar dalam tempoh lima bulan iaitu Terbuka India, Jepun, China, dan Artik. Mereka juga muncul naib juara di Jelajah Dunia Akhir BWF di Hangzhou.
RTG, yang diwujudkan untuk membantu atlet berpotensi memenangi emas Olimpik, turut menyediakan sokongan tambahan seperti psikologi, fisioterapi, analisis video, dan elaun RM3,000 sebulan.
“Kedudukan Sze Fei-Izzuddin sebagai pasangan nombor dua dunia sudah tentu meletakkan mereka dalam senarai layak RTG. Kita akan umumkan senarai penuh pemain tidak lama lagi,” tambah Hannah.
Kehebatan pasangan ini di pentas antarabangsa pastinya menjadi harapan besar negara untuk menamatkan penantian emas di pentas Olimpik. – JURNAL