Perbuatan prank seorang lelaki yang menyamar sebagai pegawai polis ketika menghantar kek di Balai Polis Tapah, Sarawak memakan diri apabila dia ditahan pihak berkuasa.
Ketua Polis Daerah Padawan, Superintendan Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, suspek berusia datang ke balai polis berkenaan kira-kira pukul 3.20 petang kelmarin dan memperkenalkan dirinya sebagai pegawai kanan polis.
Katanya, suspek kemudian mengarahkan penyelia di kaunter aduan untuk masuk ke dalam dan menyatakan tujuan kedatangannya adalah untuk menangkap anggota berkenaan.
“Suspek kemudian mengatakan hendak ke kereta kerana mahu mengambil fail dan apabila dia masuk semula, suspek dilihat membawa sebiji kek dan menyatakan tindakannya sebelum itu adalah prank.
“Kek yang dibawanya telah ditempah oleh seorang pelanggan untuk diberikan kepada anggota polis terbabit sebagai kejutan,” katanya dalam kenyataan semalam.
Bagaimanapun Abang Zainal menegaskan, perbuatan suspek itu melampaui batas, bahkan satu kesalahan besar kerana menyamar sebagai polis.
Malah jelasnya, suspek ketika disoal sekali lagi mengaku dirinya anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching.
“Namun, melalui pemeriksaan dokumen kita mendapati suspek hanya orang awam dan isterinya menjalankan perniagaan kek,” katanya.
Sehubungan itu, Abang Zainal menambah, suspek ditahan di lokap Balai Polis Siburan dan disiasat di bawah Seksyen 170 Kanun Keseksaan dan direman di Mahkamah Kuching semalam. – JURNAL
Sumber: KOSMO!