Polis menahan seorang kanak-kanak berusia enam tahun selepas dia didakwa dengan sengaja menembak gurunya di sebuah sekolah di Virginia.
Guru malang berusia 30-an yang ditembak di bahagian perut itu kini berada dalam keadaan kritikal dan sedang dirawat di Pusat Perubatan Wilayah Riverside.
Menurut laporan DailyMail.com, kejadian itu berlaku pada pukul 2 petang (waktu tempatan), Jumaat lalu.
Polis Newport News menahan murid berkenaan dan dia berada di bawah jagaan mereka selain identitinya tidak didedahkan kepada umum.
Ketua Polis Newport News , Scott Drew berkata, suspek yang ditahan itu merupakan kanak-kanak berusia enam tahun dan sekarang di bawah jagaan polis.
“Ini bukan satu kejadian tembakan tidak sengaja,” katanya dalam sidang akhbar semalam.
Katanya, kejadian itu berlaku di dalam kelas dan satu pertengkaran berlaku.
“Suspek tidak melakukan tembakan di sekitar sekolah. Tetapi membuat tembakan di kawasan tertentu (dalam kelas),” katanya.
Insiden itu berlaku di Sekolah Rendah Richneck, sebuah sekolah untuk kanak-kanak berumur lima hingga sembilan tahun.
Tiada kanak-kanak lain terlibat atau cedera dan polis kini berusaha untuk mengetahui bagaimana kanak-kanak itu mempunyai akses kepada pistol. -JURNAL
Sumber: CNN