Polis siasat dakwaan penolong pegawai Jabatan Komunikasi Komuniti J-KOM, Abdul Wahab Abd Kader diganggu secara seksual.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata ia susulan laporan dibuat Abdul Wahab di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang, Selangor semalam.
Menurutnya, pihaknya menerima laporan berkaitan gangguan seksual dipercayai berlaku pada 21 Oktober lalu di sebuah hotel Bintulu, Sarawak.
“Abdul Wahab mendakwa tampil membuat laporan bagi melindungi diri selain menafikan terbabit di dalam komplot menjatuhkan dan mereka-reka cerita terhadap Ketua J-KOM Datuk Dr. Mohammad Agus Yusoff.
“Siasatan masih diteruskan dan kita akan panggil beberapa individu lagi bagi diambil keterangan,” katanya hari ini.
Menurutnya, polis membuka siasatan di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana mencabul dan Seksyen 377D atas kesalahan melanggar kesopanan.
Semalam Harian Metro melaporkan Abdul Wahab membuat laporan terhadap Mr H berhubung penularan video perbualan lucah membabitkan dirinya pada 17 November lalu.
Peguam mewakili Abdul Wahab, Faizal Abd Rahman berkata, mereka hadir di Balai Polis Kajang bagi membuat laporan berkenaan 11 pagi semalam. – JURNAL
Sumber: HARIAN METRO