Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan sudah mengambil keterangan Ahli Parlimen Kepala Batas, Dr Siti Mastura Muhammad di Bukit Aman, pada Selasa.
Rakaman percakapan dibuat mengikut Seksyen 112 Kanun Tatacara Jenayah bagi membantu siasatan mengandungi kenyataan fitnah terhadap pucuk pimpinan dan DAP sebagai parti.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain, berkata siasatan dibuat oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Bahagian Undang-Undang/Pendakwaan (D5), Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman.
“Siasatan ini dibuat di bawah Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan atas kesalahan membabitkan kenyataan yang dikhuatiri mendatangkan, ketakutan dan kegentaran kepada orang awam.
“Siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Mohd Shuhaily berkata, kes masih dalam peringkat siasatan dan orang ramai dinasihatkan tidak membuat spekulasi dan ulasan yang boleh mengganggu siasatan.
Terdahulu, Siti Mastura diiringi peguam Ahmad Amzar Ahmad Azlan hadir ke Bukit Aman bagi memberi keterangan dan membantu siasatan berhubung laporan dibuat ke atas Ahli Parlimen Kepala Batas itu.
Siti Mastura dipanggil berhubung satu ucapan pada majlis di Kemaman, baru-baru ini.
Ahmad Amzar dilapor berkata, anak guamnya sudah memberi bahan rujukan yang dikumpul dan diserahkan kepada pihak polis.
Dalam rakaman video berdurasi 46 minit 51 saat ucapan pada satu majlis di Kemaman, Terengganu baru-baru ini, Siti Mastura mendakwa bekas Pengerusi DAP, Tan Sri Lim Kit Siang yang juga bapa Pengerusi DAP, Lim Guan Eng, adalah sepupu kepada pemimpin Parti Komunis Malaya, Chin Peng.
Selain itu, Siti Mastura dalam rakaman itu juga mendakwa Kuan Yew adalah sepupu Kit Siang, selain mengaitkan isteri Guan Eng dengan Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok. – JURNAL
Sumber: BH ONLINE