Polis Kelantan sedia memberikan kerjasama kepada pihak berkuasa Thailand dalam usaha menjejaki dua lelaki dipercayai rakyat Malaysia yang meloloskan diri daripada serbuan di sebuah hotel di Golok pada Jumaat lalu. Serbuan itu telah membawa kepada penangkapan enam individu, termasuk seorang penyanyi dikir barat terkenal dari Kelantan.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat, menjelaskan pihaknya masih belum menerima sebarang permintaan rasmi daripada polis Thailand untuk menjejak dua suspek yang diburu tersebut.
“Setakat ini, kita tidak dimaklumkan atau diminta bantuan oleh polis Thailand untuk memburu dua suspek yang melepaskan diri dalam serbuan Jumaat lalu. Kita juga tiada identiti dua lelaki yang dikatakan rakyat Malaysia itu. Jika mereka minta bantuan, kita sedia membantu,” katanya.
Dalam perkembangan terkini, Mahkamah Wilayah Narathiwat telah meluluskan perintah tahanan lanjut terhadap keenam-enam rakyat Malaysia yang ditahan dalam serbuan berkenaan, termasuk penyanyi dikir barat tersebut. Mereka akan ditahan selama tiga bulan atau 84 hari bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan.
Kesemua suspek yang berusia antara 25 hingga 32 tahun itu ditahan sekitar jam 6 pagi waktu Malaysia di sebuah bilik hotel selepas dipercayai selesai berhibur. Ketika serbuan dilakukan, polis turut menemui 6,000 biji pil yaba di lokasi tersebut.
Menurut jurucakap polis Thailand, dua suspek yang melarikan diri itu dipercayai turut dikenali oleh kesemua suspek yang ditahan. – JURNAL
Sumber: Berita Harian