Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Hamzah Zainudin menegaskan bahawa tujuan utama parti itu bukan sekadar untuk menang atau kalah, tetapi lebih kepada memperjuangkan masa depan rakyat.
“Kemenangan atau kekalahan bukan matlamat kita, yang penting ialah sama-sama berjuang memastikan masa depan rakyat terbela,” katanya dalam satu majlis pengumuman calon Perikatan Nasional bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota, yang bakal berlangsung pada 28 September ini.
Walaupun PN belum pernah memenangi kerusi DUN Mahkota, Hamzah menyatakan bahawa parti itu tetap komited dalam menurunkan calon untuk menyuarakan pelbagai isu yang dihadapi rakyat.
Antara isu utama yang akan diperjuangkan adalah kos sara hidup, sensitiviti terhadap isu 3R (agama, bangsa, dan institusi diraja), serta pensijilan halal yang menjadi perhatian baru-baru ini.
“Kita berjuang menentang kezaliman. Kita tidak mahu rakyat hidup terhimpit dengan kos sara hidup yang semakin meningkat. Isu halal juga penting; ia sudah diterima dan dihormati sejak sekian lama, di Malaysia dan di seluruh dunia. Ini adalah agenda yang akan terus kami bawa,” jelasnya.
Dalam majlis yang berlangsung di Kampung Melayu, Hamzah turut menekankan bahawa majlis tersebut bukan sahaja untuk memperkenalkan calon, tetapi juga sebagai bukti kesetiaan dan komitmen terhadap parti.
Sementara itu, calon yang bakal mewakili PN dalam PRK DUN Mahkota, Mohamad Haizan Jaafar, atau lebih dikenali sebagai ‘Coach Haizan’, menzahirkan rasa terima kasih kepada kepimpinan parti atas kepercayaan yang diberikan.
Bekas pemain bola sepak Johor itu yakin bahawa beliau mampu mendekati pengundi di DUN Mahkota dan membawa suara mereka ke peringkat lebih tinggi. – JURNAL
Sumber: Berita Harian