Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim meluangkan masa menziarahi penyanyi era 80-an Rohana Jalil yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Canselor Tuanku Muhriz, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), pada Jumaat lalu.
Anwar menerusi hantaran di Instagram pada Ahad memaklumkan Rohana mengalami kebocoran usus dan tahap kesihatannya masih dipantau pasukan perubatan.
Perdana Menteri turut mengambil peluang menziarahi Adzis Ismail, rakan beliau sewaktu menuntut di Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK) yang sedang menjalani dialisis akibat masalah kesihatan yang dialami, di hospital sama.
“Saya mendoakan kedua-dua mereka dikurniakan aafiyah (kesihatan), insya-Allah,” kata Anwar. – JURNAL