Malaysia kini bersedia menganjurkan Mesyuarat Penyelarasan Pertama di peringkat Menteri Luar dengan Arab Saudi untuk membincangkan kerjasama erat antara kedua-dua negara. Perkara ini disahkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, selepas pertemuan beliau dengan Putera Mahkota dan Perdana Menteri Arab Saudi, Mohammed bin Salman, sebelum kembali ke Kaherah, Mesir.
“Saya zahirkan penghargaan terhadap kepemimpinan Kerajaan Arab Saudi terkait penganjuran Sidang Kemuncak Luar Biasa Negara Arab dan Islam termasuk usaha berterusan membantu saudara Islam yang ditindas,” kata Anwar di laman sosial rasminya.
Dalam pertemuan itu, beliau menyentuh pelbagai aspek yang mampu memperkukuh hubungan antara Malaysia dan Arab Saudi, terutamanya dalam bidang perdagangan dan pelaburan. Antara bidang baharu yang dibincangkan termasuklah kecerdasan buatan (AI), ekonomi hijau, tenaga bersih, dan petrokimia.
Alhamdulillah diberi kesempatan mengadakan pertemuan dengan Putera Mahkota dan Perdana Menteri Arab Saudi, Mohammed bin Salman bin Abdulaziz Al-Saud sebelum saya kembali ke Kaherah, Mesir.
Saya zahirkan penghargaan terhadap kepemimpinan Kerajaan Arab Saudi terkait penganjuran… pic.twitter.com/kTIpcCdVaI
— Anwar Ibrahim (@anwaribrahim) November 12, 2024
Selain membincangkan hubungan dua hala, Anwar turut bertukar pandangan mengenai isu serantau dan antarabangsa yang menjadi kepentingan bersama. Beliau turut memanfaatkan pertemuan ini untuk menjemput Putera Mahkota Mohammed bin Salman menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN-GCC yang akan diadakan di Kuala Lumpur.
“Saya optimis bahawa hubungan erat antara Malaysia dan Arab Saudi dapat menyumbang kepada kemakmuran rakyat Malaysia keseluruhannya, Insya-Allah,” tambahnya.
Perancangan ini diharap akan membuka peluang lebih luas kepada kedua-dua negara dalam menjalin kerjasama strategik yang lebih mendalam dan saling menguntungkan. – JURNAL