Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengutuskan ucapan takziah kepada keluarga vokalis XPDC, Syed Ismail Syed Ibrahim atau Mael.
Anwar dalam ciapan di akaun Twitter miliknya turut memaklumkan, permergian Mael pastinya meninggalkan dampak yang mendalam pada industri muzik rock tempatan.
Saya utus takziah kepada keluarga allahyarham saudara Syed Ismail Syed Ibrahim atau lebih dikenali dengan panggilan Mael yang baru menyahut panggilan Ilahi hari ini. https://t.co/ZxrJzfCBES
— Anwar Ibrahim (@anwaribrahim) April 27, 2023
“Saya utus takziah kepada keluarga allahyarham saudara Syed Ismail Syed Ibrahim atau lebih dikenali dengan panggilan Mael yang baru menyahut panggilan Ilahi hari ini (Khamis).
“Sebagai antara nama besar dalam lapangan seni tanah air, pastinya khabar duka ini meninggalkan dampak yang mendalam pada industri muzik rock tempatan.
“Saya turut berduka dan mendoakan ruh allahyarham ditempatkan di kalangan mereka yang beriman dan beramal soleh,” katanya.
Terdahulu, BOOM! melaporkan, Mael meninggal dunia di Hospital Muar, Johor sekitar pukul 9.30 malam semalam.
Berita duka tersebut disahkan sendiri oleh anak perempuannya, Sharifah Irfatasha.
“Adalah dengan amat sedihnya dimaklumkan bahawa bapa saya telah meninggal dunia di Hospital Muar pada Khamis, 27 April 2023, kira-kira pada pukul 9.30 malam,” tulisnya menerusi satu kiriman WhatsApp.
Difahamkan Syed Ismail, 55, telah dikejarkan ke Hospital Muar selepas diserang penyakit asma sebelum disahkan meninggal dunia tidak berapa lama kemudian. – JURNAL