Kerajaan bersetuju melaksanakan Tol Rahmah percuma, pengecualian bayaran tol selama empat hari untuk semua pengguna jalan raya yang akan pulang ke kampung halaman sempena Aidilfitri.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, tol percuma itu akan bermula dari 19 April 2023 (Rabu) hingga 21 April 2023 (Jumaat).
Selain itu, tol percuma juga akan dilaksanakan pada 24 April 2023 (Isnin).
“Pelaksanaan Tol Rahmah Percuma akan melibatkan 33 lebuh raya bagi semua kelas kenderaan.
“Ikhtiar ini dapat mengurangkan kos bayaran tol bagi rakyat yang akan pulang beraya di kampung halaman masing-masing serta memudahkan perancangan perjalanan balik ke kampung,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media khas di Pejabat Perdana Menteri pada Selasa.
Turut hadir, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub dan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming. – JURNAL