Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengutuskan ucapan tahniah kepada Tan Sri Michelle Yeoh selepas menjadi pelakon Asia pertama memenangi Anugerah Akademi (Oscars) ke-95.
Selain ucapan tahniah, Anwar menerusi bebenang di Twitter berkata, pencapaian pelakon kelahiran Ipoh, Perak itu amat mengharumkan nama negara di persada antarabangsa.
Beliau juga berharap agar pencapaian Yeoh akan terus memberi inspirasi kepada semua penggiat seni dan perfileman tempatan.
“Saya utus tahniah buat tokoh budayawan dan seniwati Tan Sri Michelle Yeoh yang ditabal selaku Pelakon Wanita Terbaik Anugerah Akademi Ke-95 (Oscars 2023) menerusi lakonannya dalam filem Everything Everywhere All at Once.
“Pelakon kelahiran Ipoh itu juga merupakan pelakon pertama Asia Tenggara memenangi anugerah berprestij itu.
“Ternyata pencapaian ini amat mengharumkan nama negara di pentas antarabangsa.
“Besar harapan agar pencapaian ini akan terus memberi inspirasi kepada semua penggiat seni dan perfileman tempatan.
“Tahniah dan syabas dari seluruh rakyat Malaysia!,” ciapnya.
Kejayaan di pentas Oscar itu menambah trofi kemenangan Yeoh untuk filem yang sama termasuk Pelakon Wanita Terbaik Muzikal/Komedi pada Anugerah Golden Globe awal Januari, Pelakon Wanita Terbaik di Anugerah Screen Actors Guild (SAG) pada awal Februari dan yang terbaharu SpIRIT Awards untuk lakonan terbaik.
Michelle mengalahkan pemenang Oscars dua kali, Cate Blanchett dan Ana De Armas, Michelle Wiliams dan Andrea Riseborough. – JURNAL