Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan agar langkah-langkah reformasi dalam pentadbiran awam dilaksanakan dengan segera untuk memastikan keberkesanan setiap usaha.
Walaupun mengakui masih terdapat aspek yang belum memuaskan, beliau menegaskan akan berbincang dengan Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Shamsul Azri Abu Bakar, serta Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Seri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz, bagi memperbaiki prestasi.
“Penggabungan agensi dan jabatan belum memuaskan, dan pertindihan perjawatan, kadang-kadang yang kurang perlu itu, masih belum pada tahap yang diinginkan.
Laporan mengenai kelembapan dan kecuaian pegawai juga belum memuaskan,” ujarnya dalam Majlis Perhimpunan Bulanan Jabatan Perdana Menteri (JPM) hari ini.
Beliau menekankan bahawa perubahan harus dilakukan segera agar anjakan ke arah yang lebih baik dapat direalisasikan.
Menurutnya, pendekatan MADANI menuntut perkhidmatan awam untuk fokus pada tatakelola, pertumbuhan ekonomi, dan kesejahteraan rakyat.
“Menyelesaikan masalah rakyat dengan cepat, menjawab surat tuntutan mereka, serta memperbaiki langkah prosedur, semua ini memerlukan kaedah baharu.
Kecepatan dan kepantasan perubahan harus selaras dengan tuntutan masa,” tambah Anwar.
Beliau menyeru penjawat awam untuk memberikan yang terbaik dan tidak sekadar berpuas hati dengan pencapaian sederhana.
“Kecekapan yang meningkat dari 70 hingga 85 peratus adalah baik, tetapi mengapa tidak 95 peratus?
Kesederhanaan dalam Islam tidak bermaksud kekal pada tahap biasa, tetapi menuntut kita mencapai yang terbaik,” tegasnya.
Anwar turut menyatakan bahawa penjawat awam boleh menjangkakan bulan September ini sebagai masa untuk pergerakan dan reformasi yang lebih besar.
Dalam pada itu, Anwar meminta semua penjawat awam untuk memberikan sokongan penuh kepada Ketua Setiausaha Negara yang baharu, Datuk Seri Shamsul Azri, yang dilantik sejak 12 Ogos lalu.
Beliau yakin Shamsul Azri akan bekerjasama erat dengan pasukan penjawat awam untuk meningkatkan prestasi perkhidmatan awam dan memenuhi harapan rakyat. – JURNAL
Sumber: Berita Harian