Perdana Menteri Singapura, Lawrence Wong, menerima sambutan rasmi di Bangunan Perdana Putra pagi ini sempena lawatan rasminya selama dua hari ke Malaysia untuk menghadiri Sesi Pemukiman Pemimpin-Pemimpin Malaysia-Singapura Ke-11 (11th Malaysia-Singapore Leaders’ Retreat – ALR).
Ketibaan Wong pada jam 9.50 pagi disambut oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, diiringi oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, serta anggota Jemaah Menteri. Upacara dimulakan dengan lagu kebangsaan kedua-dua negara sebelum Wong memeriksa Kawalan Kehormatan yang melibatkan 103 anggota dari Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja.
Lawatan ini turut menandakan ulang tahun ke-60 hubungan diplomatik Malaysia-Singapura, dengan fokus kepada kerjasama strategik dalam pelbagai bidang. Antara acara penting adalah pertukaran Perjanjian Bersama Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) dan menandatangani enam Memorandum Persefahaman (MoU).
MoU tersebut meliputi kerjasama dalam pendidikan, kebajikan sosial, perubahan iklim, pembangunan bandar, serta usaha menentang jenayah rentas sempadan.
Kedua-dua pemimpin turut menilai kemajuan hubungan dua hala, termasuk perdagangan yang mencatatkan nilai AS$78.59 bilion (RM360.12 bilion) dari Januari hingga November 2024, peningkatan 6.7 peratus berbanding tahun sebelumnya.
Wong yang hadir bersama isterinya, Loo Tze Lui, disertai juga oleh Timbalan Perdana Menteri Singapura, Gan Kim Yong, serta beberapa menteri kanan lain. – JURNAL
Sumber: Berita Harian