Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, meminta rakyat mendoakan supaya beliau dapat mentadbir negara lebih lama bagi merealisasikan usahanya untuk membawa perubahan kepada negara.
Beliau berkata, pihaknya perlu melakukan tindakan yang tegas dan keras di peringkat kepimpinan atasan kerana tidak mahu berlaku kerosakan dalam sistem pentadbirannya.
Tegasnya, beliau tidak akan bertolak ansur dalam aspek itu kerana tidak mahu Malaysia dikenali lagi dengan negara yang mempunyai skandal rasuah, permusuhan kaum dan pergaduhan.
Malah katanya, rakyat dan negara tidak akan berupaya diangkat dalam konteks Madani jika tiada perubahan sanggup dilakukan sama ada dari peringkat atas hinggalah ke bawah.
“Sebab itu kalau dalam tindakan yang keras dan tegas, saya mula dari atas kerana rosaknya sistem negara adalah dari pimpinan di atas.
“Kalau jadi Perdana Menteri, Menteri Kewangan, pimpinan negeri atau penjawat tinggi kalau kerja mereka cari kekayaan diri sendiri, keluarga, anak, isteri atau menantu, jahanam negara.
“Sebab itu saya tidak sanggup bertolak ansur…apapun ugutan dan ujian saya bawa roh Ramadan, mesti ada usaha membersihkan jiwa diri dan kalau kita pegang jawatan adalah untuk sistem negara.
“Kita tidak mahu lagi negara heboh dengan skandal rasuah…kita amanahkan kepada pimpinan, pimpinan silih berganti…berapa Perdana Menteri sudah berapa tahun ini…doa bagi saya lama sikit,” katanya ketika berucap pada majlis berbuka puasa dan penyampaian sumbangan kepada pelajar tahfiz dan anak yatim di Masjid Ahmadi, Kampung Rantau Panjang, semalam (Rabu).
Pada masa sama, Anwar berkata, perubahan terhadap negara hanya boleh memberikan kesan sekiranya ia dilakukan dengan penuh keikhlasan dan tekad.
“Negara ini kita cuba membawa perubahan…kita tidak boleh kekal di tahap lama.
“Saya tidak peduli orang guna slogan apapun, persatuan, Melayu, Islam, Keadilan…apapun tidak akan beri kesan jika tiada keikhlasan dan tekad dalam membuat perubahan,” katanya.
Sementara itu, Anwar turut mempertikaikan tindakan pihak yang menyerangnya ekoran isu membabitkan penceramah yang dihalang mengajar agama Islam di beberapa negeri ekoran ketiadaan tauliah.
Perdana Menteri sebaliknya berkata, beliau tidak boleh memberikan tauliah mengajar agama Islam, sebaliknya ia tertakluk di pihak berkuasa agama Islam di setiap negeri di mana ia terletak di bawah kuasa Raja.
“Kita tidak mahu masjid atau surau dijadikan gelanggang maki hamun atau mencerca.
“Sebab itu Sultan Selangor (Sultan Sharafuddin Idris Shah) dan Yang di-Pertuan Agong (Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah) pesan pada saya bahawa masjid diimarahkan dan hanya yang ada tauliah dibenarkan (mengajar).
“Ia bukan keputusan saya, kenapa nak serang saya, kerajaan dan menteri…ini keputusan Raja-Raja,” katanya.
Sebelum ini, beberapa penceramah terkenal, Ustaz Azhar Idrus dan Ustaz Muhammad Wadi Annuar tidak dibenarkan mengajar agama Islam di Selangor berikutan tiada tauliah. – JURNAL
Sumber: Harian Metro