Perdana Menteri Anwar Ibrahim mempersoalkan mengapa masalah bekalan air masih berlarutan di Universiti Malaysia Sabah (UMS) walaupun beliau telah meluluskan peruntukan RM3 juta tahun lalu bagi mengatasinya.
Menurut Anwar, beliau mendapat tahu dari media sosial masalah dihadapi pelajar terbabit dan telah merujuk kepada Menteri Pendidikan Tinggi Zambry Abdul Kadir semalam.
Media melaporkan Zambry dilaporkan disambut pelajar UMS dengan memohon maaf sambil bernyanyi kerana belum mandi akibat gangguan bekalan air.
“Saya tidak mengerti sama ada mungkin projek itu ambil masa, saya tidak mahu menghukum. Saya minta laporan teliti apa jadi sejak menteri kewangan luluskan peruntukan segera untuk selesaikan masalah air di universiti itu,” kata Anwar yang juga menteri kewangan menurut Bernama pada majlis perhimpunan bersama warga Kementerian Kewangan.
Sehubungan itu, beliau meminta pihak berkaitan mengemukakan laporan teliti berhubung masalah bekalan air yang masih berlarutan di UMS.
“Saya nak dapat laporan, mungkin KSP (Ketua Setiausaha Perbendaharaan Johan Mahmood Merican) boleh tanya ketua setiausaha kementerian berkenaan. Apa berlaku sejak kelulusan saya dan tindakan yang diambil oleh kementerian dan universiti,” katanya.
Kerajaan Persekutuan pada 31 Mei tahun lalu meluluskan peruntukan RM3 juta kepada UMS bagi membantu menyelesaikan masalah bekalan air yang menurut Anwar, beliau tidak mahu mahasiswa UMS menghadapi kesukaran menjalani kehidupan ketika menimba ilmu.
Semalam, Zambry turut mengumumkan peruntukan tambahan RM2 juta kepada UMS bagi tujuan sama sebagai penyelesaian jangka pendek dan panjang agar masalah bekalan boleh diatasi segera. – JURNAL
Sumber: FMT