Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba di Vladivostok pagi ini untuk memulakan lawatan kerja dua hari ke bandar raya pelabuhan utama di wilayah Timur Jauh Russia.
Pesawat khas yang membawa Perdana Menteri mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Vladivostok pada jam 8.33 pagi waktu tempatan (6.33 pagi waktu Malaysia).
Anwar diiringi oleh beberapa menteri kanan termasuk Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan; Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz; dan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.
Sebagai Menteri Kewangan, Anwar akan menghadiri Forum Ekonomi Timur Kesembilan (EEF) yang berlangsung dari 3 hingga 6 September, dan akan menyampaikan ucapan pada sidang pleno pada 5 September.
Kemuncak lawatan ini adalah pertemuan dua hala antara Anwar dan Presiden Russia, Vladimir Putin.
Dalam pertemuan itu, Anwar dijangka mengulangi hasrat Malaysia untuk menyertai organisasi antara kerajaan BRICS, di mana Russia kini memegang jawatan Pengerusi.
Pertemuan ini juga akan membuka ruang untuk membincangkan hubungan dua hala dalam pelbagai bidang termasuk perdagangan dan pelaburan, pendidikan tinggi, Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), pertanian, keterjaminan makanan, serta pelancongan.
Selain itu, kedua-dua pemimpin akan meneroka kerjasama baharu dalam bidang aeroangkasa dan teknologi termaju.
Anwar dan Putin turut dijangka bertukar pandangan mengenai konflik Rusia-Ukraine dan situasi di Timur Tengah, serta membincangkan kerjasama dalam konteks Perkongsian Dialog ASEAN-Rusia. – JURNAL