Perdana Menteri Ethiopia, Dr Abiy Ahmed Ali tiba di Malaysia hari ini bagi memulakan lawatan rasmi dua hari, kunjungan sulung beliau ke negara ini.
Pesawat membawa Abiy bersama Wanita Pertama, Zinash Tayachew Bere dan delegasi mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) jam 8.30 pagi.
Antara yang menyambut ketibaan beliau ialah Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Akmal Nasrullah Mohd Nasir, serta Ketua Protokol Kementerian Luar Negeri, Datuk Yubazlan Yusof.
Sejurus tiba, Abiy memeriksa kawalan kehormatan yang dibarisi 28 pegawai dan anggota Batalion Pertama Rejimen Renjer Diraja (Istiadat) yang diketuai Kapten Nur Ahmad Zaim Zahari.
Lawatan Abiy ke Malaysia bertujuan memperkukuhkan hubungan antara kedua-dua negara.
Dalam satu kenyataan, Kementerian Luar Negeri, memaklumkan Abiy akan disambut oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam majlis sambutan rasmi, diikuti mesyuarat dua hala.
“Perbincangan antara kedua-dua pemimpin akan tertumpu kepada kemajuan hubungan dua hala, terutama kerjasama dalam bidang perdagangan dan pelaburan, pertanian dan komoditi.
“Selain itu, industri halal, pembangunan mampan, kesihatan, pelancongan dan pendidikan. Kedua-dua pemimpin juga dijangka membincangkan isu-isu serantau dan antarabangsa yang berkepentingan bersama.
“Satu sidang media bersama akan diadakan selepas mesyuarat dua hala tersebut,” menurut Wisma Putra.
Ethiopia rakan dagang ke-26 terbesar Malaysia di benua Afrika pada 2023.
Nilai perdagangan dua hala antara Malaysia dan Ethiopia direkodkan pada RM446.8 juta, dengan eksport Malaysia ke Ethiopia bernilai RM358.6 juta, meningkat 24.6 peratus berbanding tahun sebelumnya.
Produk dieksport Malaysia ke Ethiopia termasuk elektrik dan elektronik, minyak sawit serta barangan pertanian berasaskan minyak sawit, bahan kimia dan produk berasaskan bahan kimia, serta tekstil, pakaian dan kasut.
Pada 2023, imbangan dagangan berpihak kepada Malaysia. – JURNAL
Sumber: Bernama