Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, meluahkan rasa kecewa terhadap kelewatan pelaksanaan projek MyDigital ID dan rangkaian kedua 5G. Projek penting itu dikatakan tertangguh sehingga setahun, menyebabkan beliau meluahkan kemarahan tegas dalam Mesyuarat Majlis Ekonomi Digital dan Revolusi Perindustrian Keempat Negara (MED4IRN).
“Harapan kita tinggi. MyDigital ID terlambat hampir setahun, sementara rundingan DNB dan syarikat telekomunikasi masih tidak menunjukkan respons positif. Ini membuatkan saya hilang kesabaran,” katanya ketika berucap di perhimpunan Kementerian Kewangan (MOF).
Kemarahan Anwar turut mengundang rasa terkejut di kalangan menteri Kabinet yang hadir, termasuk Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, dan Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli.
Kredit foto: Utusan.Beliau menegaskan kelewatan ini adalah satu kecuaian yang menjejaskan agenda transformasi digital negara.
“Kerja ini lambat, cuai. Bagaimana kita nak capai AI dan transformasi digital kalau perkara asas belum diselesaikan?” tambahnya.
Projek MyDigital ID yang dimulakan sejak 2016 adalah inisiatif untuk pengesahan identiti dalam talian secara selamat. Namun, setakat ini hanya 1.2 juta pengguna telah mendaftar.
Manakala, rangkaian kedua 5G bertujuan merapatkan jurang digital dan memperluaskan jangkauan internet di kawasan luar bandar. Menteri Komunikasi sebelum ini meminta MCMC untuk mendapatkan pelan pelaksanaan terkini daripada U Mobile bagi projek tersebut.
Anwar berharap kedua-dua projek ini dapat disegerakan bagi memastikan Malaysia mampu memimpin agenda digital semasa mempengerusikan ASEAN tahun depan.
“Kita perlu bangkit sebagai negara yang berupaya menjadi contoh. Dua tahun sepatutnya cukup untuk merealisasikan semua ini,” katanya. – JURNAL