Projek Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) bersiap siaga menghadapi lonjakan trafik sehingga 2.12 juta kenderaan sehari sempena musim cuti hujung tahun dan perayaan Krismas, bermula 20 Disember 2024 hingga 2 Januari 2025. Jumlah ini meningkat berbanding purata harian biasa iaitu 1.85 juta kenderaan.
Menurut kenyataan PLUS, pelbagai langkah telah dirancang untuk memastikan perjalanan yang selamat, lancar, dan selesa buat pengguna lebuh raya.
“Rondaan oleh pasukan PLUSRonda akan dipertingkatkan sepanjang lebuh raya bagi menjamin keselamatan dan kelancaran trafik,” kata jurucakap PLUS.
Kerja-kerja penyelenggaraan jalan juga akan dihentikan sementara dalam tempoh ini, kecuali bagi kes kecemasan yang memerlukan tindakan segera untuk keselamatan.
Bagi memastikan operasi berjalan lancar, lebih daripada 4,000 kakitangan termasuk petugas di plaza tol, anggota PLUSRonda, kakitangan penyelenggaraan, anggota RELA, dan Pusat Pemantauan Trafik akan bertugas sepanjang masa.
Maklumat Trafik Terkini & Laluan Pintar
Pengguna lebuh raya boleh mendapatkan maklumat trafik terkini melalui pelbagai saluran termasuk:
– Aplikasi PLUS
– Papan tanda elektronik (VMS)
– Aplikasi X @PLUSTrafik
– Laman media sosial PLUS
– Pembantu Maya – PUTRI
– Stesen radio utama negara
Untuk melancarkan pergerakan trafik di lokasi-lokasi kritikal pada waktu puncak, PLUS turut mengaktifkan laluan Smart Lane di 25 lokasi strategik sepanjang lebuh raya. Langkah ini membantu menambah kapasiti lorong di kawasan yang sering sesak.
Dengan pelbagai inisiatif yang dilaksanakan, PLUS berharap semua pengguna dapat menikmati pengalaman perjalanan yang lebih selesa dan teratur, meskipun trafik dijangka melonjak secara mendadak.
Bagi memastikan perjalanan anda kekal selamat, pengguna disarankan merancang lebih awal, menggunakan aplikasi pintar, dan mematuhi arahan trafik yang disediakan. – JURNAL
Sumber: Kosmo!