Mahkamah Agung Brazil telah mengumumkan penghapusan sekatan terhadap platform media sosial X, yang dahulunya dikenali sebagai Twitter, selepas platform itu mematuhi tuntutan undang-undang dan membayar denda.
Keputusan oleh Hakim Alexandre de Moraes membenarkan X kembali beroperasi di Brazil dengan segera setelah platform tersebut membayar denda sebanyak 28 juta reais ($5 Juta) dan menyekat akaun yang didakwa menyebarkan maklumat palsu.
“Keputusan ini juga menuntut X untuk melantik wakil tempatan seperti yang diwajibkan oleh undang-undang Brazil,” jelas kenyataan rasmi.
Sebelum ini, Moraes telah menyekat akses ke platform yang dimiliki oleh Elon Musk setelah X enggan memadamkan beberapa akaun yang didakwa menyebarkan maklumat palsu mengenai pilihan raya Presiden Brazil 2022.
Meskipun menentang keputusan mahkamah selama beberapa bulan, X akhirnya mematuhi perintah tersebut pada bulan September.
“Kami bangga dapat kembali ke Brazil,” kata pasukan urusan kerajaan X.
“Memberi akses kepada berjuta-juta rakyat Brazil ke platform ini adalah keutamaan kami sepanjang proses ini,” tambahnya lagi.
Sebagai info, Brazil merupakan salah satu pasaran terbesar X di dunia dengan lebih 22 juta pengguna. – JURNAL
Sumber: BBC