Bintang bola sepak Portugal, Cristiano Ronaldo selepas berpindah ke Arab Saudi baru-baru ini dilihat selesa dengan kehidupan barunya di negara tersebut.
Portal berita MailOnline melaporkan Ronaldo dilayan dengan baik oleh masyarakat di sana dan kini kehidupannya seperti jutawan hebat.
Bekas bintang Manchester United itu juga dilaporkan tinggal di penginapan bersesuaian umpama seorang raja di Kingdom Tower, salah sebuah bangunan tertinggi di Arab Saudi.
Kediaman itu memberikannya pemandangan terbaik ibu kota dalam persekitaran paling mewah di Riyadh.
Bangunan Kingdom Tower itu menempatkan sebuah Hotel Four Seasons dan Ronaldo ditempatkan di ‘Suite Kingdom’ iaitu suite dua tingkat yang terbaik di situ.
Sementara itu, 17 buah bilik lagi diduduki oleh rombongannya termasuk keluarga, rakan dan pengawal peribadi.
Bagiamanapun harga suite itu tidak disenaraikan dalam laman sesawang rasmi dan ia perlu ditempah secara peribadi, begitu juga Royal Suite yang terletak bersebelahan dengannya.
Namun, Suite Presiden yang lebih kecil boleh ditempah secara dalam talian dan kos untuk satu malam ialah £3,300 (RM17,530).
Dianggarkan bil hotel untuk Ronaldo dan rombongannya akan melebihi £250,000 (RM1,328,101) apabila dia mendaftar keluar dan menemui sebuah rumah tetap untuk pasangannya, Georgina Rodríguez dan lima anak mereka.
Ronaldo baru-baru ini telah menandatangani kontrak dengan kelab bola sepak Al-Nassr dengan pakej bernilai lebih £400 juta (RM2.12 bilion). -JURNAL
Sumber: MailOnline