Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) menyarankan agar semua undang-undang, prosedur dan tata kelola kehakiman dan perundangan Mahkamah Syariah diselaraskan di seluruh negara.
Presidennya, Musa Awang, berkata secara peribadi, sepanjang pengalamannya berkhidmat di beberapa negeri, prosedur dan tatakelola yang tidak selaras di antara negeri sangat ‘meletihkan’ bagi pengamal undang-undang Mahkamah Syariah.
Beliau berkata, sebagai contoh, tuntutan pengesahan lafaz cerai atau poligami ada negeri yang memulakan prosiding dengan saman dan pernyataan tuntutan, namun ada juga negeri menggunakan permohonan dan afidavit.
Katanya, kenapa perkara sekecil itu tidak dapat diselaraskan dan begitu juga bagi sesetengah peruntukan undang-undang yang ada di sesetengah negeri tetapi tidak terdapat di negeri lain.
“Ketika ini cabaran di Mahkamah Syariah sangat hebat dan keputusan yang dibuat oleh Mahkamah Syariah dibawa dan dicabar di mahkamah sivil,” katanya kepada pemberita pada Majlis Wacana Kehakiman dan Perundangan Syariah 2024 di sini hari ini.
Majlis perasmian program disempurnakan Ketua Pengarah dan Ketua Hakim Syarie Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM), Datuk Mohd Amran Mat Zain.
Musa berkata, cabaran bukan sahaja terhadap keputusan Mahkamah Syariah tetapi kepada perundangan yang terpakai di Mahkamah Syariah seperti kes M Indira Gandhi AP Mutho lawan Pengarah Jabatan Agama Islam Perak pada 2018.
Menurutnya, cabaran lain membabitkan kes Iki Putra Mubarak lawan Kerajaan Selangor 2021 dan kes Nik Elin ZurinaNik Abdul Rashid lawan Kerajaan Kelantan yang bakal diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan pada Jumaat ini.
Katanya, jika perkara itu masih tidak dapat diselaraskan sudah pasti akan ada pihak yang akan menggunakan kelemahan yang ada itu sebagai senjata untuk mencabar kehakiman dan perundangan Syariah.
“Bagaimanapun saya tidak menafikan dan berterima kasih kepada komitmen Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia dan Negeri-Negeri yang sedaya upaya untuk cuba menyelaraskan perkara ini di semua negeri,” katanya.
Musa berkata, melalui Arahan Amalan yang dikeluarkan oleh Ketua Pengarah JKSM dengan kerjasama Ketua Hakim Syarie Negeri-negeri setiap tahun, sedikit sebanyak dapat mengisi kelompongan undang-undang dan menyelaraskan prosedur serta tata kelola kehakiman dan perundangan Mahkamah Syariah di negara ini.
Menurutnya, sebagai pengamal undang-undang pihaknya juga mengharapkan pindaan segera kepada Akta/Enakmen Pentadbiran Agama Islam atau Enakmen Mahkamah Syariah Negeri-negeri dapat disegerakan untuk mempertingkatkan hierarki Mahkamah Syariah daripada tiga tingkatan kepada empat tingkatan sebagaimana di Perak.
Katanya, begitu juga dengan pindaan terhadap Akta/Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah Negeri-negeri, iaitu pindaan terhadap prosedur lafaz wakalah (S.34) tanpa perlu dilakukan di hadapan Mahkamah atau pendaftar; pendengaran melalui teknologi telekomunikasi jarak jauh; keterangan secara bertulis (S.100), serta Arahan Ketua Hakim Syarie bagi melaksanakan peruntukan dalam Enakmen (S.247A) dan lain-lain sebagaimana yang telah dilakukan oleh Selangor dalampindaan Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Pindaan 2022).
“Sudah tiba masanya, JKSM mengambil alih tanggungjawab menjadi urusetia bagi meminda undang-undang ini serta undang-undang lain yang berkaitan dan sebagai pengamal undang-undang pihak kami mengharapkan agar Mahkamah Syariah tidak hanya mengejar petunjuk prestasi utama (KPI) bagi menyelesaikan kes berbanding menegakkan keadilan,” katanya. – JURNAL
Sumber: BERITA HARIAN