Semua mayat mangsa yang terkorban dalam nahas pesawat jenis Beechcraft Model 390 (Premier 1) dekat Elmina, Shah Alam, ditemui dalam keadaan tidak sempurna.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, berkata keadaan mayat mangsa sedemikian disebabkan impak pesawat yang berkecai.
Ketika ini, identiti dua lagi mangsa iaitu orang awam sedang dikenal pasti oleh pihak berkuasa.
Sementara itu, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, identiti semua mangsa, walaupun sudah dikenal pasti perlu disahkan melalui ujian forensik.
“Pengesahan akan diumumkan oleh polis kelak,” katanya.
Terdahulu, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar Dan Teknologi Hijau Negeri Pahang, Datuk Seri Johari Harun, dilaporkan antara 10 mangsa terkorban dalam nahas jet persendirian dekat Elmina petang ini.
Ketika kejadian, Johari yang juga Ketua UMNO bahagian Bentong, dalam penerbangan dari Langkawi ke Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS) Subang.
Kematian Johari dikongsi oleh Ahli Parlimen Bentong, Young Syefura Othman, menerusi ciapan di Twitter sambil berkongsi gambar kenangan dalam mesyuarat bersama Allahyarham.
“Pada petang ini, satu berita tergempar membabitkan nahas pesawat ringan di Elmina, Shah Alam. Amat mendukacitakan apabila melibatkan seorang kawan saya, Allahyarham YB Dato’ Sri Johari Harun, EXCO Pahang yang juga ADUN Pelangai di bawah Parlimen Bentong.
“Saya amat bersedih dengan kehilangan ini. Baru sahaja 2 hari lepas, saya bersama Allahyarham Dato’ Sri Jo berbincang berkenaan pembangunan di Bentong dan Pelangai yang akan direncanakan kelak,” katanya menerusi hantaran itu.
Setakat ini, Kementerian Pengangkutan mengesahkan identiti dua kru pesawat iaitu Shahrul Kamal Roslan dan Heikal Aras Abdul Azim, manakala penumpang ialah Kharil Azwan Jamaludin, Shaharul Amir Omar, Mohamad Naim Fawwaz Mohamed Muaidi, Datuk Seri Johari Harun, Muhammad Taufiq Mohd Zaki dan Idris Abdol Talib Ramali. – JURNAL