Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (PeSAWAH) menggesa kerajaan menaikkan harga lantai padi daripada RM1,300 kepada RM1,800 per tan selain membantah Rang Undang-Undang (RUU) Kualiti Benih Tanaman.
Tuntutan itu disampaikan melalui memorandum yang diserahkan kepada Pejabat Perdana Menteri (PMO) dan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM).
Pengerusi PeSAWAH, Abdul Rashid Ahmad, menyatakan bahawa harga lantai padi sedia ada sejak 2023 kini tidak lagi relevan disebabkan kenaikan mendadak kos diesel, benih, dan penyelenggaraan sawah.
“Kos membajak dan menuai turut meningkat akibat penghapusan subsidi diesel, selain sewa tanah dan kos racun yang berbeza mengikut negeri,” jelasnya.
Bagi isu RUU Kualiti Benih Tanaman, Abdul Rashid menegaskan ia tidak dirunding bersama pesawah. RUU ini bakal mewajibkan individu yang memproses atau mengedar benih tanaman mendapatkan lesen dan menjalankan ujian makmal.
“Kos tinggi dan kelewatan bekalan benih menyebabkan 30 peratus pesawah memproses sendiri benih untuk menjimatkan perbelanjaan,” katanya lagi.
Seramai 300 ahli PeSAWAH turut hadir berhimpun di lobi KPKM bagi menunjukkan sokongan. Memorandum tersebut diserahkan kepada Setiausaha Politik Perdana Menteri, Chan Ming Kai.
Menurut Ming Kai, “Saya sudah menerima memorandum ini dan akan menyerahkannya kepada Perdana Menteri serta agensi berkaitan untuk tindakan lanjut.”
Sesi penyerahan memorandum berlangsung selama sejam, dengan PeSAWAH berharap agar tuntutan mereka diberi perhatian demi kelestarian industri pesawah tempatan. – JURNAL
Sumber: Berita Harian