Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa berkata, pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengambil maklum tentang insiden tular di Pusat Jantung, Hospital Serdang baru-baru ini.
Memohon maaf di atas salah faham yang belaku, Dr Zaliha berkata, kehadiran pesakit yang ramai juga menyebabkan waktu menunggu yang panjang.
BACA: [V] Pesakit Mengamuk Di Hospital Serdang, Kena ‘Sidai’ Dari Jam 8 Pagi Hingga 7 Malam
“Saya difahamkan ada salah faham, kakitangan iaitu Penolong Pegawai Perubatan sedang menggunakan telefon untuk menguruskan temu janji pesakit.
“Kehadiran kes yang ramai menyebabkan waktu menunggu yang panjang. Kes terbabit juga adalah ulangan janji temu.
“Pemeriksaan untuk pesakit jantung harus dilakukan dengan teliti juga mengambil masa rawatan yang lebih panjang bagi setiap seorang pesakit,” katanya.
Baru-baru ini tular di media sosial seorang pesakit ‘mengamuk’ kerana perlu menunggu lama untuk bertemu doktor di Pusat Jantung Hospital Serdang.
Pesakit tidak berpuas hati apabila mendakwa menunggu berjam-jam untuk mendapatkan rawatan.
Pesakit lelaki berkenaan kelihatan menjerit dan memarahi petugas kesihatan ketika berada di ruang menunggu Klinik Kardiologi hospital terbabit.
BACA: Khalayak Perasan Kehadiran Dr Zaliha Buat ‘Spot Check’ Di HTAR – “Malam Tadi Memang Dia!”
Dr Zaliha berkata, KKM memohon maaf atas kejadian dan pihak hospital akan meneliti perkara berkenaan serta melaksana penambahbaikan.
“Saya juga berharap orang ramai juga ada rasa empati terhadap petugas kesihatan yang bekerja keras tanpa henti untuk membantu dan memberi perkhidmatan terbaik,” katanya.
Difahamkan, Pusat Jantung Hospital Serdang mula beroperasi pada 12 Disember tahun lalu dengan objektif utamanya mengurangkan separuh masa menunggu bagi rawatan jantung. – JURNAL
Sumber: Harian Metro