Kerajaan meluluskan peruntukan sebanyak RM100 juta untuk membantu mangsa yang terjejas banjir di Kelantan dan Terengganu.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, peruntukan itu melibatkan sebanyak RM50 juta bagi mangsa banjir di Kelantan manakala RM50 juta lagi di Terengganu.
Menurutnya, bantuan itu merupakan keperluan segera yang diberikan bagi membantu kebajikan rakyat di kedua-dua negeri itu.
“Sehubungan itu, peruntukan awal sebanyak RM1,000 akan diberikan kepada semua ketua keluarga yang terlibat di pusat pemindahan sementara (PPS). Bagi mangsa banjir yang terlibat dengan kemalangan (semasa banjir), bantuan sebanyak RM10,000 diberikan kepada mereka.
“Kerajaan lakukan ini (bantuan peruntukan) secara konsisten sama seperti yang kita lakukan terhadap mangsa yang terlibat dengan kejadian tanah runtuh di Batang Kali baru-baru ini,” katanya.
Anwar ditemui media pada sidang akhbar selepas melawat mangsa banjir di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Panglima Raja, Pasir Mas, Kelantan, pada Rabu.
Menurut Anwar, peruntukan itu akan diuruskan oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma).
Terdahulu, Kerajaan Negeri Selangor menyumbangkan bantuan kewangan sebanyak RM1 juta iaitu, RM500,000 kepada kerajaan Kelantan dan Terengganu untuk membantu mangsa banjir di dua negeri berkenaan.
Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari berkata bantuan itu bagi meringankan beban atas musibah yang melanda kedua-dua negeri tersebut selain bersimpati dengan nasib yang menimpa rakyat. – JURNAL
Sumber: Kosmo!