Hari ini, tumpuan dunia, termasuk Malaysia, terarah ke Amerika Syarikat (AS) apabila kira-kira 168 juta rakyatnya akan keluar mengundi, sama ada melalui pos atau di pusat mengundi, bagi memilih presiden baharu.
Data rasmi dikeluarkan sehingga Isnin menunjukkan lebih 76 juta daripada kira-kira 168 juta pengundi sudah menjalankan kewajipan mereka menerusi pengundian awal dan kira-kira 44 peratus daripadanya merupakan penyokong Parti Demokrat.
Pilihan raya kali ini bukan sekadar penentu masa depan politik AS, tetapi juga dijangka mempengaruhi ekonomi global secara menyeluruh.
Pilihan Raya Presiden AS memang sentiasa menjadi acara penting, namun kali ini pertaruhannya lebih besar. Keputusan yang bakal diumumkan bukan sahaja memberi kesan langsung kepada pasaran modal, komoditi, dan mata wang, tetapi juga berpotensi mengubah hala tuju perdagangan dan ekonomi bagi negara-negara di seluruh dunia, termasuk Malaysia.
Di tengah pertarungan sengit ini, bekas Presiden Trump dan Naib Presiden Kamala Harris berada di hujung spektrum bertentangan dalam banyak isu. Trump sering dilihat lebih berpengalaman dalam menangani ekonomi, namun Harris semakin merapatkan jurang keyakinan dalam kalangan pengundi.
Bagi Malaysia dan banyak negara lain, apa pun keputusan akhir, persediaan menghadapi potensi ketidakstabilan ekonomi dalam tempoh peralihan kepimpinan baharu di AS amat penting. – JURNAL