Personaliti televisyen, Suhaimi Sulaiman bakal diumumkan sebagai Ketua Pengarah Penyiaran atau Radio Televisyen Malaysia (RTM) dalam masa terdekat.
Suhaimi yang memiliki pengalaman besar lebih tiga dekad dalam dunia penyiaran dijadualkan memulakan tugas tidak lama lagi dan telah dipersetujui oleh Kementerian Komunikasi dan Digital.
“Pengurusan kanan RTM telah dimaklumkan oleh Ketua Setiausaha kementerian.
“Jawatan Ketua Pengarah Penyiaran kini kosong setelah dipangku oleh Datuk Che Roslan Che Daud,” kata sumber berkenaan memetik laporan Dagang News.
Dengan pelantikan tersebut, Suhaimi menjadi individu keempat yang bukan dari kalangan warga RTM, termasuk Che Roslan memandangkan sebelum ini beliau berkhidmat di Kementerian Wilayah Persekutuan serta Datuk Ibrahim Yahaya yang merupakan bekas Pengarang Berita Harian.
Suhaimi, 61, menamatkan khidmat di TV Sarawak sebagai Ketua Pegawai Eksekutif pada Ogos 2022 dan sebelum itu, merupakan Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama).
Beliau memulakan kerjaya dalam bidang penyiaran pada 1990 sebagai wartawan dan penolong penerbit sebelum bertukar menjadi penyampai berita serta pengacara untuk saluran TV3, malah mula dikenali ramai setelah mempelopori program bual bicara, Malaysia Hari Ini (MHI).
Pada 2007, beliau menyertai satu usaha permulaan untuk melancarkan saluran berita 24 jam pertama Malaysia iaitu Astro Awani sehingga Mac 2015 dan meninggalkan stesen tersebut untuk memberi tumpuan kepada bidang Perundingan dan Latihan Media. – JURNAL
Sumber: Dagang News