PERODUA memperkenalkan prototaip kenderaan elektrik (EV) terbaharu, eMO-II, di Pameran Mobiliti Antarabangsa Kuala Lumpur 2024 (KLIMS 2024), mencerminkan komitmen jenama itu dalam membangunkan teknologi automotif masa depan.
Menurut Presiden dan CEO PERODUA, Datuk Seri Zainal Abidin Ahmad, eMO-II adalah hasil pembangunan sepenuhnya oleh Jabatan Penyelidikan dan Pembangunan PERODUA sejak 2023.
“eMO-II telah ditambah baik dari segi penggayaan dan ciri-ciri berbanding model terdahulu. Kami pastikan produk akhir nanti akan berada pada harga antara RM50,000 hingga RM90,000,” katanya.
Prototaip ini menampilkan reka bentuk moden dengan elemen songket Malaysia yang digabungkan bersama lampu LED untuk menghasilkan estetik unik. Dengan jarak perbatuan 400-410 km serta pecutan 0-100 km/j dalam 6-7 saat, eMO-II membuktikan keupayaan PERODUA dalam penghasilan EV berkualiti tinggi.
PERODUA turut bekerjasama dengan organisasi tempatan bagi memastikan pengalaman pemilikan EV yang mesra pengguna dan dilengkapi prasarana sokongan terbaik.
“Elektrifikasi bukan hanya tentang cara memandu baharu, tetapi usaha kami mengurangkan jejak karbon,” tambah Zainal.
Selain eMO-II, PERODUA turut mempamerkan kereta konsep Ativa Fuze serta meraikan perjalanan 30 tahun syarikat itu di KLIMS 2024. – JURNAL