Setelah lebih 31 tahun berkecimpung dalam industri kreatif dengan meneroka pelbagai fasa perniagaan, kini KRU mengembangkan sayapnya dengan memperkenalkan taman tema yang dinamakan sebagai Wetland Studios Putrajaya.
Menjalin kerjasama dengan Perbadanan Putrajaya dan KRU Studios Sdn Bhd, KRU telah dilantik sebagai rakan kerjasama bagi pengoperasian Wetland Studios Putrajaya.
Wetland Studios Putrajaya merupakan sebuah taman tema didik-hibur dalaman (berhawa dingin) berteraskan teknologi melalui kerjasama strategik KRU bersama anak syarikatnya, Wetland Studios Sdn Bhd.
Bakal dilancarkan secara rasminya pada bulan September 2023, kesemua 15 ruangan akan dibuka termasuk tarikan tambahan Panorama, Lakes & Rivers dan Majestic Ocean.
Bagi fasa pertama dalam tempoh pra-pelancaran, bermula 26 Mei hingga 31 Ogos ini, pengunjung boleh merasai pengalaman di 12 ruangan yang telah dibuka, iaitu, Insectopia, Dinosaur Encounter, Stegodon Big Break, Caventure, Jungle Jive, Sky Sanctuary, Flamingo Parade, Sky Dreams VR, Artopia, Aviary Archive, EduPlay Centre dan Migration in Motion.
Sepanjang tempoh ini, harga istimewa ditawarkan kepada pengunjung warganegara Malaysia bermula RM 12 hingga RM 25 dan percuma kepada kanak-kanak 3 tahun ke bawah.
Sementara itu bagi pelancong asing bermula dengan harga RM 16 hingga RM 40, juga percuma kepada kanak-kanak bawah 3 tahun.
Presiden, Wetland Studios, Datuk Norman Abdul Halim berkata, pihaknya mahu semua lapisan masyarakat dapat merasai kemeriahan dan pengalaman di taman tema tersebut.
“Sememangnya kami menawarkan harga tiket serendah mungkin agar pengalaman di Wetland Studios Putrajaya dapat dinikmati oleh pelbagai lapisan masyarakat khususnya yang datang bersama keluarga.
“Kami berharap agar pengalaman ini akan memberikan maklumat berharga untuk kita menjaga alam sekitar dan pada masa yang sama meninggalkan memori indah dengan orang-orang yang tersayang,” ujar beliau.
Antara lain yang menarik, Wetland Studios Putrajaya bertemakan pemuliharaan alam sekitar dan perlindungan hidupan liar selain menonjolkan peranan Taman Wetland Putrajaya kepada masyarakat setempat, serta flora dan faunanya.
Melalui pengalaman hibrid secara maya dan fizikal, para pengunjung akan mendalami tentang sejarah bumi, peranan penting air serta ekosistem pelbagai hidupan seperti mamalia, reptilia, amfibia, ikan, serangga, pokok, bunga dan lain-lain.
Pengalaman “Immersive Reality” di Wetland Studios Putrajaya merangkumi aset fizikal seperti animatronik, replika dan hiasan berkonsepkan alam semula jadi.
Lebih menarik lagi, penggunaan teknologi seperti hologram, Augmented Reality (AR) serta Virtual Reality (VR); dan juga kandungan digital yang menampilkan pelbagai watak animasi termasuk ‘Zan Orangutan’ dan ‘KiKaKo Kids’.
Wetland Studios Putrajaya beroperasi dari 10 pagi hingga 7 petang, setiap hari termasuk hujung minggu dan cuti awam.
Pengunjung boleh mendapatkan tiket di kaunter tiket Wetland Studios Putrajaya.
Pembelian tiket dalam talian juga disediakan di laman sesawang www.wetlandstudios-putrajaya.com bermula 1 Jun 2023. – JURNAL