Hari ini pada tahun 2008, Duli Yang Maha Mulia Di Pertuan Agong, Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan menyempurnakan perasmian Masjid Kristal di Kuala Terengganu.
Masjid ini merupakan masjid pintar pertama di Malaysia. Keunikan Masjid Kristal yang terletak dalam kawasan tarikan pelancongan di Taman Tamadun Islam (TTI) di Pulau Wan Man, ini tidak perlu dipertikaikan lagi.
Ia satu-satunya masjid yang dibina menggunakan kaca dan keluli di negara ini, malah turut diiktiraf sebagai masjid pintar pertama di Malaysia.
Mempunyai 51 kubah dan lengkap dengan empat menara sudah cukup mengambarkan kehebatan seni bina Islam Moorish yang cuba diterapkan pada pembinaannya.
Berkeluasan 2,146 meter persegi, masjid itu mampu memuatkan 700 jemaah pada satu-satu masa selain dilengkapi prasarana teknologi maklumat dan liputan jalur lebar tanpa wayar (WiFi) yang membolehkan pengunjung menggunakan kemudahan akses Internet bagi membaca al-Quran elektronik.
Pembinaannya yang menelan belanja kira-kira RM360 juta memiliki seni bina yang unik dan dewan solat berbentuk segi empat selain penggunaan bahan binaan berlainan berbanding masjid lain di negara ini.
Masjid Kristal juga menjadi pelengkap kepada 21 monumen seni bina tamadun Islam seperti Kubah As Sakhra di Palestin, Masjidil Haram (Arab Saudi), Masjid Al-Hambra Citadel (Sepanyol), Taj Mahal (India), Menara Kalyan (Uzbekistan), Masjid Samarra (Iraq), Masjid Mohd Ali (Mesir), Masjid Qairawan (Tunisia), Masjid Allepo Citadel (Syria) dan Masjid Kul Syarif (Rusia) di TTI.
Sehingga hari ini Masjid Kristal menjadi tarikan utama pelancong di negeri Terengganu. – JURNAL
Sumber: ARKIB NEGARA, HARIAN METRO