Pada hari ini dalam tahun 1960, Bunga Raya telah diisytiharkan sebagai Bunga Kebangsaan Persekutuan Tanah Melayu.
Sebelum pengisytiharan ini dibuat, Menteri Pertanian Persekutuan Tanah Melayu telah meminta pandangan umum tentang pemilihan bunga kebangsaan.
Di akhir tahun 1958 Kementerian Pertanian telah mengemukakan tujuh jenis bunga untuk pemilihan iaitu; bunga kenanga, bunga raya, bunga melur, bunga teratai, bunga mawar, bunga cempaka dan bunga tanjung.
Mengikut pemilihan umum bunga mawar telah mendapat undian paling besar dari penduduk Pantai Timur sementara penduduk Pantai Barat memilih bunga melur.
Akhirnya Kerajaan sendiri yang memilih bunga raya untuk dijadikan Bunga Kebangsaan berdasarkan kriteria-kriteria berikut: Bunga raya terkenal di kalangan masyarakat.
Warnanya menandingi warna bunga-bunga lain, warnanya hidup, gembira, girang, gilang-gemilang dan merah itu melambangkan keberanian.
Kelopaknya yang lebar dan melentur tidak kurang cantiknya daripada bunga-bunga lain.
Pokoknya berbunga sepanjang masa dan tidak ada musim. la boleh ditanam dengan mudah, cuma disemai dari potongan dahannya sahaja.
Berdasarkan kepada kriteria-kriteria itu maka pada hari ini dalam tahun 1960 Perdana Menteri Persekutuan Tanah Melayu telah membuat satu pengumuman mengisytiharkan bunga raya sebagai Bunga Kebangsaan ketika merasmikan pameran Malayan Agro-Horticultural Association (MAHA) di Kelab Turf, Selangor. – JURNAL
Sumber: ARKIB NEGARA