Hari ini penggunaan media sosial Facebook digunakan secara meluas di seluruh dunia.
Selain digunakan sebagai rangkaian untuk menghubungkan kenalan, Facebook turut digunakan sebagai platform untuk mengembangkan perniagaan.
Namun tahukah anda bahawa Facebook telah dilancarkan pada bulan Februari?
Facebook diasaskan oleh Mark Zuckerberg bersama teman-teman sebiliknya dan rakan-rakan sekursus sains komputer di Universiti Harvard iaitu Andrew McCollum, Eduardo Saverin, Dustin Moskovitz dan Chris Hughes.
Zuckerberg mendaftarkan URL http://www.thefacebook.com pada Januari 2004 & melancarkan laman web itu pada 4 Februari itu.
Dalam tempoh 24 jam pertamanya, The Facebook menerima kira-kira 1,500 pendaftaran daripada para pelajar Harvard.
The Facebook berkembang apabila dibuka kepada pelajar lain di luar Harvard. Menjelang penghujung 2004, laman itu sudah mempunyai 1 juta pengguna dan Zuckerberg meninggalkan Harvard untuk mengusahakan The Facebook dari ibu pejabat baharu di California.
Dari situ, The Facebook mula berkembang ke seluruh dunia & namanya ditukar kepada ‘Facebook’ pada 2005. Syarikat-syarikat besar, yang menjadi sumber pendapatan utama laman itu, mula membeli slot untuk mengiklankan produk mereka.
Setakat ini, Facebook mempunyai 2.96 bilion pengguna & separuh daripadanya melayari laman itu setiap hari. – JURNAL
Sumber: History, Britannica