Pada hari ini dalam tahun 1983, larangan ke atas orang Islam negara ini dari memasuki tempat perjudian Kasino Hotel Genting Higlands dikuatkuasakan.
Serentak dengan itu, pengawal keselamatan hotel juga telah diarah menjalankan pemeriksaan kad pengenalan di pintu masuk terhadap semua pengunjung tempat perjudian tersebut.
Turut sama menjalankan pemeriksaan terhadap para pengunjung tersebut ialah pegawai-pegawai Perbendaharaan.
Berikutan dengan tindakan tersebut beberapa orang Islam yang hendak memasuki ke tempat perjudian pada hari tersebut telah dilarang dari memasukinya.
Pada peringkat awal penguatkuasaan larangan ini, hanya orang-orang Islam negara ini sahaja yang diharamkan masuk ke kasino kerana kesukaran untuk mengenalpasti warganegara asing yang beragama Islam.
Keputusan kerajaan untuk mengurangkan semua jenis perjudian di negara ini telah disambut baik oleh semua lapisan masyarakat.
Pengumuman larangan masuk umat Islam negara ini ke tempat perjudian di Kasino Genting Highlands merupakan antara langkah awal yang dibuat oleh kerajaan dalam mengurangkan semua bentuk perjudian terutama yang melibatkan orang Islam dibuat. – JURNAL
Sumber : Arkib Negara Malaysia