Pada hari ini dalam tahun 1965, Seri Paduka Baginda Yang di Pertuan Agong Tuanku Syed Putra ibni Almarhum Syed Hassan Jamalullail telah merasmikan pembukaan Lapangan Terbang Antarabangsa Subang.
Turut menghadiri upacara ini ialah Perdana Menteri, Tunku Abdul Rahman dan Timbalan Perdana Menteri Tun Abdul Razak, Menteri-menteri, Pemangku Raja Selangor, Pembesar-pembesar negara dan tetamu khas dari luar negeri.
Pembinaan lapangan terbang ini telah menelan belanja RM52 juta dan memakan masa 2 1/2 tahun untuk dibina. Ia merupakan salah satu lapangan terbang yang terbesar dan termoden di Asia Tenggara pada masa itu dan boleh menerima pendaratan kapal-kapal terbang besar seperti Boeing 707 dan DC 8.
Rekabentuk bangunan ini terdiri daripada tiga tingkat di bahagian bawah untuk gerakan, bahagian tengah untuk orang ramai dan tingkat satu untuk penyeliaan penumpang.
Selain itu satu bangunan khusus dibina untuk kegunaan menara pengawal lalulintas disediakan dihujung bangunan ini.
Lapangan terbang ini juga disediakan dengan kemudahan pasukan bomba dan kemalangan udara, pengkalan kaji cuaca, pengkalan siaran radio dan klinik pertolongan cemas serta pelbagai kemudahan lain.
Pembukaan rasmi Lapangan Terbang Antarabangsa Subang ini adalah detik bersejarah dalam pembangunan Malaysia sebagai sebuah negara maju. – JURNAL
Sumber : Arkib Negara Malaysia