Pada hari ini dalam tahun 1956, Persidangan Malaya Merdeka di antara wakil-wakil kerajaan Perikatan yang diketuai oleh YTM Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj dan wakil-wakil Raja Melayu dengan Pegawai-pegawai dari Pejabat Tanah Jajahan British, diadakan di Lancaster House, London.
Persidangan ini diadakan bagi menuntut kemerdekaan Tanah Melayu. Persidangan ini antara lain membincangkan mengenai Malaya akan merdeka dalam lingkungan ‘British Komanwel’, urusan pentadbiran, kewangan keselamatan dalam negeri, pertahanan dan hal ehwal luar negeri yang akan dipegang oleh Menteri-menteri Persekutuan Tanah Melayu.
Turut dibincangkan ialah mengenai penubuhan Jawatankuasa Bebas Kemerdekaan untuk mengkaji dan menyarankan perubahan dalam perlembagaan dengan tidak mengubah kedudukan istimewa Raja-Raja Melayu.
Persidangan Malaya Merdeka ini telah membuka jalan untuk mendapatkan kemerdekaan penuh bagi Persekutuan Tanah Melayu yang diisytiharkan dalam satu upacara bersejarah pada 31 Ogos, 1957. – JURNAL
Sumber: HIDS