Pada hari ini dalam tahun 1984, kapal KD SRI PERAK telah tenggelam kerana dipukul ombak besar di Laut China Selatan. Kapal peronda ini merupakan salah satu daripada 22 kapal peronda milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM). Ia merupakan sebuah kapal peronda dalam kelas `Kedah’ dan ditempah di Portmouth dalam tahun 1961 serta ditauliahkan pada bulan Mac, 1963.
Kapal peronda ini mempunyai kelajuan maksimum 27 knot dan dilengkapkan dengan radar. Semasa kejadian, kapal peronda KD SRI PERAK dengan anggota seramai 29 orang dan 3 pegawai bertolak dari Pangkalan TLDM di Woodland Singapura ke Pulau Labuan bagi tujuan latihan dan operasi.
Pelayaran ketika itu turut disertai kapal KD HANG TUAH serta KD SERI TERENGGANU (P3143), tetapi apabila sampai ke kawasan rumah api Horsburgh, laut mula bergelora setinggi tujuh meter.
Kru kapal peronda KD SRI PERAK telah diselamatkan selepas 72 jam terapung oleh sebuah kapal dagang yang melalui kawasan kejadian sebelum dipindahkan ke kapal KD MAHAWANGSA.
Kapten Kapal Lt. M. Chandran dan 25 orang anak kapal terselamat dari mati lemas dan 3 orang lagi didapati hilang. Malangnya, dokumen-dokumen penting dan peralatan kapal, termasuk sebuah alat radio yang dimasukkan ke dalam kotak khas untuk kegunaan kecemasan Kapten kapal, tidak dapat diselamatkan.
Setelah berkhidmat dan berjasa kepada negara selama 20 tahun 6 bulan 3 hari, kapal peronda KD SRI PERAK telah tenggelam.
Peristiwa ini menjadi sejarah buat TLDM dan negara secara keseluruhannya. Sesungguhnya perkhidmatan kapal ini sebagai salah sebuah armada TLDM tetap menjadi kenangan abadi untuk negara. – Jurnal
Sumber: Arkib Negara