Pada hari ini dalam tahun 2002, YAB Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad telah mengumumkan dan mengesahkan bahawa Pulau Tioman diberikan status pulau bebas cukai.
Pengumuman ini dibuat oleh Perdana Menteri selepas menghadiri Majlis Ramah Mesra Bersama Pelajar dan Kakitangan Universiti Putra Malaysia di Serdang, Selangor.
Pulau Tioman diberi status pulau bebas cukai bagi menjadikan Pulau Tioman setanding dengan Pulau Batam dan Bintan di Indonesia. Pulau Tioman merupakan pulau ketiga diberi status bebas cukai selepas Labuan dan Langkawi.
Terletak sejauh 32km dari pantai barat negeri Pahang, lautannya kaya dengan khazanah laut terumbu karang yang menjadikan Pulau Tioman sebagai lokasi popular kepada mereka yang meminati aktiviti menyelam.
Pemberian status pulau bebas cukai ini telah menggalakkan lagi aktiviti bertaraf antarabangsa dijalankan di pulau ini selain menggamit kedatangan lebih ramai pelancong untuk menikmati keindahan semula jadi Pulau Tioman yang menakjubkan. – Jurnal
Sumber: Hari Ini Dalam Sejarah (HIDS)