Tanggal 25 Mei, 22 tahun yang lalu, Erik Weihenmayer menjadi manusia buta pertama menakluk Everest.
Gunung pertama yang ditawan Weihenmayer adalah Denali pada 1995, mencetus impiannya untuk mendaki Everest.
Pada 1999, National Federation of Blind (NFB) bersetuju menaja ekspedisi latihan ke Ama Dablam pada 2000 & misi Everest pada 2001.
Tepat jam 10 pagi waktu Nepal pada 25 Mei 2001, Weihenmayer akhirnya menjejakkan kaki di puncak tertinggi dunia, menjadikannya orang buta pertama berjaya berbuat demikian di waktu itu, ditemani oleh 10 lagi pendaki warga A.S. & 8 orang Sherpa.
Pada hari itu, 3 lagi rekod Everest turut dilakar – manusia tertua sampai ke puncak (Sherman Bull, 64), bapak-anak pertama sampai ke puncak (Sherman & anaknya Bradford), & kumpulan terbesar pertama berjaya sampai ke puncak pada hari sama.
Kejayaan itu menjadi cerita muka depan majalah Time edisi 18 Jun 2001. Pada September 2002, Weihenmayer melengkapkan penaklukan 7 puncak tertinggi dunia, menjadi orang buta pertama dalam kalangan 150 pendaki elit yang berjaya berbuat demikian.
Pada 2004, beliau bersama pasukan disertai 6 orang buta warga Tibet mendaki bahagian utara Everest hingga 21,500 kaki, pendakian tertinggi pernah dicapai oleh sekumpulan orang buta. Dokumentari berdasarkan ekspedisi itu, “Blindsight” disiarkan pada 2006.
Menjadi inspirasi kepada dunia, Weihenmayer pada 2005 menubuhkan bersama No Barrier, sebuah organisasi yang membantu manusia pelbagai latar belakang & keupayaan untuk mengatasi cabaran & membantu yang lain.
Weihenmayer lahir pada 23 September 1968 di Princeton, New Jersey, A.S., didiagnos menghidap retinoschisis di usia 15 bulan yang menyebabkan beliau buta sepenuhnya di usia 13 tahun. Begitupun, ia tak menghalang beliau menjalani kehidupan luar biasa.
Di usia 16 tahun, Weihenmayer mula memakai anjing panduan & menjadi atlet gusti di sekolahnya. Beliau mula menceburi daki tembok serta aktiviti lasak lain, sambil menuntut & memperoleh sijil bahasa Inggeris & komunikasi sebelum menjadi seorang guru. – JURNAL
Sumber: NFB, Guinness World Records