Bekas jurulatih bola sepak kebangsaan, Datuk Zainal Abidin Hassan belum bersedia untuk memberikan sebarang kenyataan berhubung pergaduhan melibatkan dua isterinya di sebuah restoran mamak di Seksyen 9, Shah Alam, Selangor, baru-baru ini.
Maaf, saya belum bersedia nak beri sebarang kenyataan (berhubung apa yang berlaku),” jawabnya ringkas ketika dihubungi media.
Menurut Zainal, 62, yang merupakan bekas ketua jurulatih kelab bola sepak Penang F.C ini, jadualnya sangat sibuk buat masa sekarang.
“Saya sangat sibuk sekarang. Hubungi saya esok lusa, insya-Allah,” katanya.
Selepas memberikan jawapan tersebut, Zainal yang juga bekas pemain bola sepak terkenal era 1980-an dan 90-an itu terus menamatkan panggilan selain pesanan dalam aplikasi WhatsApp tidak berbalas.
Terdahulu, nama Zainal menjadi sebutan ramai apabila dia berkahwin kali kedua sedangkan masih bergelar suami kepada isteri pertama dengan wanita muda yang juga merupakan seorang penyanyi, Fyna Jebat.
Bagaimanapun baru-baru ini timbul cerita kurang enak didengar apabila difahamkan, kedua-dua isterinya berbalah di sebuah restoran mamak selepas Fyna selesai mengadakan persembahan dalam program realiti, Famili Duo.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner, Mohd. Iqbal Ibrahim mengesahkan berlaku pergaduhan kecil melibatkan dua isteri kepada bintang bola sepak terkenal itu.
Menurut Iqbal, kedua-dua pihak telah membuat laporan polis dan kes disiasat mengikut Seksyen 160 Kanun Keseksaan (gaduh gempar) dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil (AKK) (Kelakuan tidak senonoh di tempat awam). – JURNAL
Sumber: KOSMO! Online