Seorang penyelam Ranjau Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Laskar Kelas I PLM Arman San Hermansa, ditemui tidak sedarkan diri berhampiran Kapal Diraja (KD) Pendekar yang karam selepas lebih sejam menjalankan operasi salvaj bersama seorang rakan setugas, semalam.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Deputi Superintendan Mohd Syamsuri Mohamad, menjelaskan bahawa anggota TLDM berusia 28 tahun itu memulakan selaman pada pukul 11.11 pagi di kawasan Perairan Tanjung Penyusop, Pengerang, Johor, untuk melaksanakan tugas di kapal TLDM tersebut.
“Pada 12.29 tengah hari, hanya rakan mangsa berusia 24 tahun sahaja yang berjaya naik ke permukaan. Usaha mencari segera dilakukan dan mangsa ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri berhampiran kapal yang karam,” katanya.
Mangsa berjaya dibawa ke permukaan, namun usaha menyelamatkan nyawanya oleh pegawai perubatan di atas kapal gagal.
Mayat Arman kemudian dihantar ke Unit Forensik Hospital Sultan Ismail (HSI), Johor Bahru, oleh ambulans tentera untuk tindakan lanjut.
Polis menerima maklumat mengenai kejadian tersebut pada pukul 2.50 petang, dan kes ini diklasifikasikan di bawah Laporan Mati Mengejut.
Arman San, yang berasal dari Markas Selam dan Peperangan Periuk Api (MSPPA), dilaporkan meninggal dunia semasa operasi salvaj ke atas KD Pendekar yang tenggelam pada 25 Ogos lalu selepas mengalami kebocoran dipercayai akibat terlanggar objek bawah air di Perairan Tanjung Penyusop.
Bahagian Komunikasi Strategik Markas Tentera Laut dalam kenyataannya semalam memaklumkan bahawa Lembaga Siasatan Khas telah ditubuhkan untuk mengenal pasti punca kejadian.
Jenazah Arman dijadualkan dikebumikan di kampung halamannya di Lahad Datu, Sabah.
KD Pendekar dilaporkan tenggelam sepenuhnya, namun tindakan pantas komuniti maritim berjaya menyelamatkan semua 39 kru kapal tanpa sebarang kecederaan. – JURNAL
Sumber: Harian Metro