Beberapa laluan utama di ibu negara akan ditutup secara berperingkat pada 3 Oktober serta 5 hingga 6 Oktober ini bagi memberi laluan kepada dua acara besar, iaitu Petronas Le Tour De Langkawi dan Kuala Lumpur Standard Chartered Marathon 2024.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa, memaklumkan bahawa sebanyak 535 pegawai dan anggota polis akan bertugas bagi memastikan kelancaran trafik sepanjang acara berlangsung.
Menurut beliau, pusat bandar Kuala Lumpur akan menjadi laluan peringkat kelima Le Tour De Langkawi yang akan diadakan pada Khamis ini.
Laluan yang terlibat meliputi Persimpangan Jalan Sultan Ismail; Jalan Ampang; Jalan P Ramlee; Persimpangan Jalan Raja Muda Abdul Aziz; Jalan Tun Razak; Persimpangan Jalan Yahya Petra; Lebuhraya Akleh; Yap Kwan Seng; Jalan Ampang Hilir; Jalan Desa Pandan dan Jalan Jelatek. Pelepasan bermula kira-kira 11 pagi di Menara Berkembar Kuala Lumpur, Jalan Ampang.
Penutupan jalan akan dilakukan secara berperingkat bermula dari 10 pagi dan akan dibuka semula secara berperingkat.
Bagi Kuala Lumpur Standard Chartered Marathon 2024 yang dijangka menarik lebih 45,000 peserta, penutupan jalan juga akan dilakukan secara berperingkat bermula Sabtu hingga Ahad ini.
Pada hari Sabtu, penutupan jalan akan bermula dari jam 5 pagi hingga 12 tengah hari, melibatkan jalan-jalan seperti Jalan Kinabalu, Jalan Leboh Pasar, Jalan Leboh Ampang, Jalan Dato Onn, Jalan Kuching, dan beberapa laluan lain di pusat bandar.
Sementara itu, pada hari Ahad, penutupan akan bermula lebih awal, iaitu pada jam 3 pagi hingga 12 tengah hari di beberapa laluan tambahan.
Antara jalan yang terlibat pada Ahad ialah Jalan Tun Perak, Jalan Masjid India, Jalan Dang Wangi, Jalan Bukit Bintang, serta Jalan Tun Razak.
Beliau meminta orang ramai yang mempunyai pertanyaan atau mendapatkan maklumat lanjut boleh menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999 atau Bilik Gerakan JSPT KL di talian 03-20719999 atau layari Facebook JSPTKL. – JURNAL
Sumber: Harian Metro