Seorang penolong pengurus eksekutif sebuah hotel mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan mencabul kehormatan bekas pembaca berita yang juga rakan sekerjanya, Julai lalu.
Tertuduh, Mohd Faizal Hussain, 53, membuat pengakuan itu sejurus pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Zhafran Rahim Hamzah.
Mengikut pertuduhan, Mohd Faizal didakwa menggunakan kekerasan jenayah terhadap bekas pembaca berita berusia 54 tahun itu dengan memegang tangan mangsa dengan tujuan mencabul kehormatannya di sebuah hotel di Damansara pada 1 tengah hari, 13 Julai lalu.
Oleh itu dia didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dengan denda dan sebat atau mana-mana dua seksaan itu.
Pendakwaan dikendalikan Siti Maryam Jamilah Md Kamal dan tertuduh diwakili peguam Nur Afiqah Mohd Ashriee.
Dalam prosiding hari ini, Siti Maryam memohon wang jaminan RM6,000 serta syarat tambahan untuk tertuduh tidak mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan.
“Saya difahamkan hubungan adalah rakan sekerja,” katanya.
Nur Afiqah dalam rayuannya memohon jaminan dikurangkan RM1,500 kerana anak guamnya mempunyai enam tanggungan termasuk tiga anak masih bersekolah, isteri tidak bekerja serta ibu dan ayah yang sakit.
“Tertuduh hadir ke balai polis sebelum ini untuk memberi keterangan dan kerjasama, saya percaya anak guam tiada risiko melarikan diri.
“Tertuduh mempunyai pendapatan RM9,000 (sebulan), namun akibat digantung kerja sejak minggu lalu tertuduh hanya dibayar separuh daripada gaji itu. (Jaminan) perlu mengambil kira komitmen dan tanggungan tertuduh,” katanya.
Majistret kemudian membenarkan jaminan RM4,000 terhadap tertuduh dan syarat tambahan seperti dicadangkan pihak pendakwaan, selain menetapkan semula kes pada 20 November ini. – JURNAL
Sumber: HARIAN METRO